100,000 Usahawan Muslim Perkasa Ekonomi Menjelang 2030

by Puteri Gunung Ladang

Oleh SITI AZIELAH WAHI

RAUDHAH CITY – Berhasrat untuk melahirkan 100,000 usahawan profesional Melayu Muslim menjelang 2030, Syarikat Pemaju Perumahan Moden Islamik, Raudhah City memeterai kerjasama strategik bersama syarikat Andalus Ventures dalam komitmen memperkasakan ekosistem ekonomi Islam di negara ini.

Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berkenaan berlangsung pada Jumaat lalu secara digital susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di negara ini.

Raudhah City diwakili Ketua Pengarah Urusan, Mohd. Fadzil Hashim manakla Andalus Ventures diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Zafrul Noordin.

Berdasarkan perjanjian persefahaman itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama bagi meneroka peluang yang ada membangunkan ekosistem ekonomi Islam di Malaysia dan negara-negara lain.

Raudhah City akan dibangunkan sebagai sebuah kawasan Perbandaran Islam Moden dan akan dijadikan sebagai hab ekosistem tersebut.

Sementara itu Andalus Ventures mempunyai misi dan visi melahirkan lebih banyak profesional Muslim, pembentukan perniagaan dan membina sebuah Hab Inovasi Muslim bertaraf dunia.

Dalam pada itu, Mohd. Fadzil berkata, usaha untuk membangun sebuah ekosistem ekonomi Islam merupakan satu cabaran yang besar dan memerlukan kerjasama daripada semua pihak.

“Andalus Ventures mempunyai pengalaman luas dalam melatih usahawan untuk memulakan perniagaan di dalam dan luar nagara.

“Mereka merupakan rakan strategik untuk membantu kita mencapai cita-cita untuk melabur serta melahirkan lebih ramai usahawan berjaya,” katanya.

Sementara itu Zafrul berkata, dalam menghadapi situasi dan cabaran dunia baharu, semua pihak yang mempunyai visi dan nilai yang sama perlu bersatu padu.

“Kita tidak mungkin boleh mengharungi cabaran ini bersendirian tetapi jika dilakukan bersama kita akan menjadi lebih kuat dan dapat membantu antara satu sama lain.

“Ini semua dalam misi untuk mengembalikan kekuatan ekonomi Islam khasnya dan dunia umumnya,” tegasnya.

Tambah Zafrul, Kumpulan Brainy Bunch mempunyai pengalaman dan rangka kerja yang terbaik malah mereka telah mempersiapkan Ekosistem Raudhah City.

“Ini memberikan kami keyakinan bahawa di sinilah tempatnya dan merekalah orang tepat untuk kami adakan kerjasama,” katanya.

Sementara itu, melalui MoU tersebut kedua-dua pihak akan memacu kerjasama yang bakal memberikan manfaat bersama.

Antara terma-terma yang dipersetujui termasuk meneroka peluang kerjasama dalam bidang pelaburan dan
pembangunan perniagaan, serta pembangunan usahawan

Selain itu, kedua-dua pihak juga bersetuju meneroka peluang kerjasama secara jangka panjang dan menjadi rakan kongsi melalui pembentukan syarikat usahasama atau Special Purpose Vehicle (SPV).

Dalam pada itu, dua kerjasama awal yang sedang dibincangkan kedua-dua pihak adalah Pembentukan Raudhah Capital, yang akan dijadikan sebagai Kenderaan Pelaburan untuk membentuk ekosistem.

Selain itu Raudhah City dan Andalus Ventures juga menyasar melahirkan 100,000 usahawan Muslim berkualiti tinggi yang akan menerajui ekonomi Islam di Malaysia dalam tempoh 10 tahun. – MBNews

You may also like

Leave a Comment