Covid-19: Greece arah perintah berkurung kluster majoriti Muslim

by Ratu Pelangi

ATHENS – Pihak berkuasa Greece mengenakan perintah berkurung kepada sebuah kluster yang majoriti penduduk bandar dan kampungnya Muslim di timur laut negara berkenaan selepas beberapa kes dan kematian akibat Covid-19 dikenal pasti.

Memetik laporan agensi AFP, kawasan di wilayah Xanthi kini menjalani perintah berkurung bermula tengah haari tadi selepas sembilan orang daripada keseluruhan rantau berkenaan disahkan positif Covid-19 sejak enam hari lalu, malah semua penduduk diarahkan berada di rumah dan tiada sebarang pengecualian.

Menurut Timbalan Menteri Perlindungan Awam, Nikos Hardalias, lokasi wabak itu dikenal pasti muncul di bandar kecil Pomak, Ehinos dengan komuniti seramai 2,500 orang.

“Penduduk Ehinos akan diberikan makanan dan ubatan,” kata Hardalias.

Polis dikerahkan hari ini untuk menguatkuasakan perintah berkurung, berikutan terdapat kes warga emas lelaki berusia 72 tahun meninggal dunia akibat Covid-19, menurut Datuk Bandar, Ridvan Deli Huseyin.

“Lebih baik mengambil langkah sekarang daripada menangis kemudian hari,” kata Huseyin.

Pomak adalah kawasan di mana sekumpulan Muslim berasal dari Slavia menetap di situ.

Mereka membentuk sebahagian daripada minoriti Muslim seramai 110,000 yang berketurunan Greece di timur laut negara itu yang bersempadan dengan Turki, di mana kebanyakan mereka bekerja sebagai pekerja industri migran di negara-negara Eropah yang lain.

Menurut TV ERT, dianggarkan kira-kira 1,000 orang bekerja membina kapal dan kerja pembinaan di Itali, Perancis, Belanda, Belgium dan Jerman dilihat kembali semula ke Pomak, manakala kebanyakan yang berada di Turki pula bertujuan untuk bekerja atau belajar.

“Kebanyakan dari mereka mungkin membawa virus itu. Kebanyakan penduduk di sini sangat rapat dan memiliki keluarga yang besar,” kata Datuk Bandar Xanthi, Manolis Tsepelis.

Terdapat 22 kematian dan 821 disahkan mendapat jangkitan Covid-19 di Greece, yang mempunyai 11 juta penduduk.

You may also like

Leave a Comment