Covid-19 : Kerajaan Selangor Umum 7 Insentif Ringan Beban Kewangan Rakyat

by Puteri Gunung Ladang

Oleh: SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA – Kerajaan Selangor mengumumkan pakej bantuan sosioekonomi kepada kumpulan sasar utama berikutan wabak Covid-19 yang semakin serius dan Perintah Kawalan Pergerakan yang diperkenalkan antara 18 hingga 31 Mac.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri itu faham Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan memberi kesan kepada kehidupan seharian rakyat Malaysia umumnya dan rakyat Negeri Selangor khususnya.

“Justeru untuk mengurangkan beban kehidupan dan kesulitan ekonomi akibat daripada PKP itu, kerajaan negeri akan melaksanakan suatu pakej rangsangan yang dikenali sebagai Pakej Selangor Prihatin,” katanya.

Beliau berkata jumlah keseluruhan Pakej Rangsangan Selangor Prihatin adalah sebanyak RM127.78 juta.

“Pembiayaan tersebut adalah daripada Perbendaharaan Negeri serta sumbangan anak-anak syarikat Selangor.

“Kerajaan megeri akan mencuba sebaik mungkin bagi meringankan beban rakyat serta menampan derita kewangan mereka yang terkesan, “katanya.

Tambah beliau kerajaan negeri prihatin dan bersedia mendengar sebarang cadangan untuk menambah baik perbelanjaan fiskal negeri demi kemaslahatan rakyat.

Berikut adalah inisiatif tersebut:

  1. Menghargai Petugas Barisan Hadapan Menangani Wabak Covid-19

Kerajaan Negeri menginsafi betapa petugas-petugas kesihatan bertungkus-lumus berkhidmat dan ada di antara mereka terus bertugas tanpa cuti dihimpit kemelut wabak ini.

Oleh yang demikian, pentadbiran ini meluluskan satu insentif one-off sebanyak RM200 kepada 6,000 petugas yang dikenal pasti terlibat di hospital-hospital seluruh Selangor. Bantuan makanan ini akan berterusan sehingga 31 Mac 2020. Peruntukan ini berjumlah RM1.2 juta.

  1. Bantuan Kepada Penjaja/ Berniaga Berlesen

Pengecualian sewa akan diberikan kepada 80,000 penjaja dan peniaga berlesen dalam premis bagi meringankan beban akibat kehilangan punca pendapatan utama (RM12 juta). Turut disediakan adalah pemberian khas one-off sebanyak RM500 bagi melancarkan aliran tunai masing-masing RM 40 juta.

Permohonan untuk pemberian tersebut akan mula dibuka mulai 1 April 2020 sehingga 30 April 2020. Penyaluran pemberian khas akan dilaksanakan selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan. Keseluruhan inisiatif ini akan mengakibatkan kos sebanyak RM52 juta.

  1. Meringankan Beban Usahawan Skim Hijrah Selangor

Penangguhan serta-merta bayaran balik pinjaman sebanyak tiga bulan ansuran kepada semua empat 40,000 peminjam Hijrah. Beban kewangan yang akan ditanggung kerajaan negeri adalah sebanyak RM70 juta.

  1. Memudahcara Urus Diri Mahasiswa

Mengambil kira saranan MKN, pelajar-pelajar Selangor yang menuntut di Institusi-institusi pendidikan tinggi tidak lagi dibenarkan pulang ke halaman masing-masing. Dengan itu, bagi memudahcara urus diri mahasiswa-mahasiswa Selangor yang terpaksa kekal di IPT masing-masing di Sabah dan Sarawak, Kerajaan negeri bersetuju untuk menyediakan bantuan sara diri one-off sebanyak RM200 bagi RM2,500 pelajar yang terkesan dengan larangan pulang tersebut.

Manakala bagi pelajar-pelajar Selangor di tempat lain khususnya di Unisel, Kuis, dan Kolej Inspens, Program Makanan Percuma akan dilaksanakan bermula 22 Mac hingga 31 Mac 2020 bagi mahasiswa/i yang terpaksa kekal di kampus masing-masing. Keseluruhan bantuan ini bernilai RM2.3 juta.

  1. Meringankan Beban Peserta Skim Smart Sewa

Pentadbiran ini meluluskan penangguhan bayaran sewa sebanyak tiga tiga bulan ansuran untuk 2,700 penyewa dengan kos sebanyak RM600,000.

  1. Penggunaan Khas Peruntukan Ahli Dewan Negeri (ADUN) Selangor

Kelonggaran skop peruntukan akan diberikan kepada setiap ADUN dengan anggaran kira-kira Ringgit Malaysia Tiga Puluh Ribu (RM30,000) kepada semua lima puluh enam (56) ADUN di seluruh Selangor untuk sebarang perbelanjaan aktiviti Mesra Rakyat khusus untuk keperluan harian individu / keluarga yang terkesan. Peruntukan mininum untuk inisiatif ini berjumlah RM1.68 juta.

  1. Pelanjutan Tempoh Akhir Bayaran Cukai Tanah / Petak dari 31 Mei 2020 kepada 30 Jun 2020

Kelonggaran turut diberikan kepada semua pembayar cukai untuk nmelewatkan pembayaran cukai tanah / petak selama satu bulan tanpa sebarang bebanan kos pada pihak Kerajaan Negeri.

You may also like

Leave a Comment