Covid-19: Palestin rekod kematian pertama

by Ratu Pelangi

RAMALLAH – Palestin mencatatkan rekod kematian pertama akibat Covid-19 membabitkan seorang wanita warga emas berusia 60 tahun, lapor jurucakap Pihak Berkuasa Palestin, Ibrahim Melhem.

Memetik laporan Agensi, Ibrahim memaklumkan, warga emas terbabit yang menghidap masalah kesihatan serius meninggal dunia di Tebing Barat yang diduduki.

“Anak perempuan serta menantunya turut disahkan dijangkiti wabak Covid-19 petang semalam,” katanya.

Jumlah kes Covid-19 di wilayah Palestin telah mencecah 64 sejak 5 Mac lepas yang mana 62 darinya di Tebing Barat manakala dua lagi di Semenanjung Gaza, kata Ibrahim.

“Palestin mesti mengikuti pengalaman perintis China dalam menyekat dan memerangi virus itu,” katanya.

Menurut data yang dikumpulkan Universiti Johns Hopkins yang berpangkalan di Amerika Syarikat, sejak virus baharu Covid-19 muncul di Wuhan, China pada penghujung tahun lalu, ia menjadi pandemik yang tersebar sekurang-kurangnya ke 172 negara.

Data itu juga menunjukkan lebih daripada 441,100 kes dilaporkan di seluruh dunia, dengan hampir 20,000 kematian dan lebih daripada 111,900 sudah sembuh.

You may also like

Leave a Comment