Covid-19: Persidangan di gereja, majlis kenduri kahwin di Bangi punca jangkitan hingga lima generasi

by Ratu Pelangi

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

CYBERJAYA – Satu persidangan keagamaan yang berlangsung selama tiga hari di sebuah gereja di Kuching dan sebuah majlis perkahwinan di Bandar Baru Bangi dikesan antara penyebab penularan wabak Covid-19 sehingga membentuk jangkitan ke beberapa generasi lain.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, persidangan yang berlangsung di gereja itu telah menyebabkan 83 orang disahkan positif Covid-19

Selain itu, katanya, kes daripada kluster itu turut melibatkan dua kes kematian iaitu kes ke-358 dan kes ke-2471, lima kes kritikal di unit rawatan rapi (ICU) dan 50 kes sedang dirawat di hospital.

“Dalam pada itu, majlis perkahwinan di Bandar Baru Bangi, ia merupakan satu kluster jangkitan Covid-19 yang kemudiannya telah membentuk jangkitan sehingga generasi kelima.

“Sehingga hari ini, sebanyak 88 kes telah disahkan positif Covid-19 daripada kluster ini, termasuk satu kes dirawat di ICU dan tiada kes kematian dilaporkan berkaitan dengan kluster ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, kedua-dua kluster itu sehingga kini telah menyebabkan jangkitan Covid-19 sehingga generasi kelima.

Dr. Noor Hisham berkata, susulan tindakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac lalu adalah bertepatan bagi memutuskan rangkaian penularan virus Covid-19 di kalangan masyarakat.

Namun katanya, setiap individu perlu memainkan peranan masing-masing untuk membantu kerajaan Malaysia dalam memastikan usaha mengekang penularan jangkitan wabak ini berjaya.

Katanya, masyarakat juga diseru untuk mengelak daripada mempersalahkan atau mendiskriminasi mana-mana pesakit atau kumpulan yang dikaitkan dengan kluster jangkitan Covid-19.

“Janganlah kita stigmakan mereka. Apa yang penting, adalah kita membantu mengesan dan merawat jangkitan Covid-19 di kalangan mereka yang terlibat, keluarga dan kontak mereka,” katanya. – MBNews

You may also like

Leave a Comment