Covid-19: Tentera Perancis turut serta bantu perangi wabak

by Ratu Pelangi

PARIS – Presiden Perancis, Emmanuel Macron, berkata anggota tentera Perancis akan menyokong perkhidmatan awam dalam membendung wabak Covid-19 memandangkan negara itu kini berdepan dengan jumlah kematian sehingga 1,300 orang.

Memetik laporan agensi AFP, operasi ketenteraan dinamakan “Resilience” akan memfokus kepada bantuan dan sokongan kepada penduduk dan membantu perkhidmatan awam berdepan dengan pandemik di negara itu dan luar negara.

“Perpaduan dan keberanian akan membantu kita mengatasi masalah ini, kerana kita baru bermula dan akan terus bertahan,” kata Macron sambil menambah Perancis kini berada dalam “peperangan”.

Kenyataan itu dibuat selepas Macron melawat hospital ketenteraan di timur Mulhouse yang terjejas akibat Covid-19, malah turut berjanji menyalurkan lebih banyak peruntukkan untuk hospital.

Dalam kenyataan rasmi Rabu lalu, Paris akan mengurangkan perkhidmatan metro dan kereta api hingga minimum di ibu kota dan pinggir bandar serta dua lapangan terbang ditutup berikutan negara itu turut melanjutkan perintah berkurung.

Perkhidmatan kereta api minimum bertujuan memastikan hanya pekerja kesihatan dan mereka yang perlu bekerja saja menggunakannya, malah pihak polis turut melakukan pemantauan di stesen bagi mengelakkan perjalanan yang tidak digalakkan.

Lapangan terbang Orly iaitu hab domestik utama turut ditutup sementara.

“Semalam trafik pengguna di Orly menurun kepada 92 peratus dan 89 peratus di Charles de Gaulle,” kata Pengarah Urusan ADP, hab antarabangsa Paris, Edward Arkwright.

Perancis melaporkan sebanyak 1,331 kematian sejak Januari lalu, manakala 11,500 pula dijangkiti Covid-19 dan kerajaan akan mengumumkan berapa lama negara akan meneruskan perintah berkurung, menurut jurucakap Sibeth Ndiaye. 

You may also like

Leave a Comment