Ikan kembung RM5 sekilogram diserbu orang ramai

by Tun Teeja

PUCHONG – Laku keras!. Itu yang boleh disimpulkan apabila ikan kembung yang dijual k di Puchong Prima di sini diserbu orang ramai.

Ikan itu dibawakan khas dari Kuala Muda, Kedah berikutan tular lambakan spesies ikan tersebut yang tidak habis dijual.

Walaupun lori yang membawa 1.3 tan ikan itu tiba kira-kira pukul 1 pagi tadi, orang ramai sudah mula berkumpul untuk membelinya pada harga RM5 sekilogram.

Tinjauan Malakat Tribune kira-kira pukul 12 tengah hari tadi, masih terdapat orang ramai membeli ikan tersebut kerana harganya jauh lebih murah daripada pasaran.

Ketua Prasarana Kempen Buy Muslim First (BMF) Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Mohd. Nor Izzat Mohd. Johari berkata, sambutan diterima amat menggalakkan penduduk di sini.

Beliau berkata, sokongan padu daripada pejuang-pejuang BMF seluruh negara kerana memberi bantuan dan sokongan sehingga sanggup menunggu ketibaan lori yang membawa ikan tersebut.

“Dalam pukul 1 pagi mereka menunggu dan membeli. Malah ada yang berulang kali datang untuk membeli ikan tersebut.

“Ini adalah projek perintis untuk membantu nelayan-nelayan seluruh Malaysia berikutan lambakan ikan itu atau spesies ikan lain yang ditangkap mereka. Kita akan cuba atasi masalah itu,” katanya kepada Malakat Tribune ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Cikgu Izzat menambah, usaha itu akan diperluaskan ke daerah-daerah lain di pantai barat Semenanjung.

Kata beliau, pihaknya akan putuskan ke lokasi-lokasi lain dan juga lokasi di sini supaya memudahkan orang ramai membelinya.

“Kita akan membawa lambakan ikan yang ada supaya dapat sampai kepada pengguna seluruh negara terutama sekali harganya jauh lebih murah berbanding dijual di pasar.

“Saya difahamkan ikan kembung yang dijual di Johor Bahru adalah antara RM18 hingga RM20 sekilo sedangkan boleh dijual RM5 atau paling kurang RM10.

“Ini menguntungkan kepada pengguna dan umat Islam. Paling penting nelayan kita tidak akan membuang ikan yang ditangkap di lautan jika terdapat lambakan selain pengguna mendapat ikan segar,” ujarnya. – MT

You may also like

Leave a Comment