Jangan serius sangat, kumpulan Facebook MATJHI cetus ceria warganet

by Puteri Gunung Ladang

Kolum Kupas Bawang

Oleh SITI AZIELAH WAHI

TIDAK sampai seminggu ditubuhkan, sebuah kumpulan Facebook yang diwujudkan untuk ahlinya berkongsi hidangan yang tidak manjadi mencatatkan jumlah pengikut seramai lebih 1 juta orang.

Kumpulan yang diberi nama Masak Ape Tak Jadi Hari Ini (MATJHI) seakan satu fenomena baharu kepada pengguna Facebook khasnya selepas mencatatkan jumlah pengikut yang luar biasa.

Ternyata halaman ini menjadi tempat pengguna Facebook melepaskan tekanan selepas lebih sebulan terkurung di rumah menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Rata-rata pengikut Kumpulan itu terhibur melihat perkongsian hidangan tidak menjadi daripada ahli kumpulan itu disamping turut sama berkongsi pengalaman masing-masing yang turut mengalami nasib serupa.

Jika sebelum ini pengguna Facebook hanya berkongsi hidangan yang menyelerakan dengan persembahan ala chef di hotel-hotel mewah, kini ada ruangan khas bagi mereka yang kurang berbakat atau kadang kala masakan kurang berhasil kerana ‘derhaka resipi’.

Apa yang menarik, masing-masing bersifat terbuka dan sporting walaupun masakan yang kurang menjadi itu menjadi bahan gelak secara berjemaah oleh beribu-ribu pengguna Facebook lain.

Pelbagai rupa dan hasil hidangan seperti gorengan hangus, kek bantat, pau kejung, roti keras, biskut mencair dan sebagainya dengan kepsyen melucukan menjadikan pembaca tidak kering gusi.

Bukan sahaja hasil yang tidak sepertinya, pengalaman pahit sewaktu beraksi di dapur turut dikongsi dalam bentuk gambar dan video contohnya insiden kuali berlubang, kuih meletup, lesung patah, adunan membuak dan sebagainya.

Bagi penulis sendiri, kemunculan kumpulan Facebook sebegini mampu merawat rasa kecewa ketika menu yang diusahakan tidak menjadi seperti yang diharapkan kerana ternyata ramai yang senasib.

Namun disebalik rasa lucu dan terhibur sepanjang melayari laman Facebook Kumpulan berkenaan, ada juga segelintir pihak yang tiba-tiba bersikap lurus dan sensitif menyebabkan pengguna lain ‘terpotong stim’ ketika melayan rasa ceria.

Ada pula yang marah sambil mengeluarkan kata-kata kurang baik, malah ada juga yang mendakwa kumpulan itu sengaja menjadikan hal makanan sebagai mainan.

Bagi penulis sendiri, mengapa perlu melatah. Melihat kejadian-kejadian aneh itu sahaja memang lucu, ia bukan disengajakan malah tiada siapa sengaja merosakkan makanan yang penat dibuat dan dibeli dengan kos.

Bagi penulis, jika dilihat dari sudut positif maka tidak ada yang negatif. Ia sepatutnya dilihat secara terbuka dan hikmah disebalik kejadian.

Kita dapat lihat usaha oleh ibu-ibu dan bapa-bapa untuk menghasilkan hidangan istimewa untuk anak-anak mereka walaupun hakikat ya mereka bukan pandai sangat masak, ianya satu usaha murni dan berharga!

Ada sesetengah hidangan tidak menjadi itu tidak dibazir begitu sahaja sebaliknya dijadikan hidangan untuk haiwan ternakan seperti ayam dan burung.

Disamping menyiarkan hidangan kek bantat atau kuih keras kejung, ada juga orang lebih arif memberikan tips dan berkongsi resipi sebenar yang boleh dicuba selepas ini.
Orang yang belum mencuba pula boleh menjadikan kesilapan sebagai pengajaran!

Dalam keadaan ramai yang tertekan ini, keadaan ini sungguh menceriakan seisi keluarga kerana anak-anak kecil yang turut sama melihat pun faham apa yang menggelikan hati ibu mereka.

Jangan serius sangat..

You may also like

Leave a Comment