Kemelut Politik Jejas Ekonomi Malaysia

by Tun Teeja

Oleh: Nurul Firdaus Khairi

CYBERJAYA – Senario politik selepas peletakan jawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam ternyata menakutkan pelabur luar untuk melabur di Malaysia.

Pakar Ekonomi Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Dr Shazali Abu Mansor berkata, tindakan itu jelas menjejaskan ekonomi sehingga menyebabkan pelabur mengambil keputusan menarik diri dari terus berjuang dalam ekonomi negara.

Menurutnya, mereka (pelabur) sudah pasti tidak mahu mempertaruhkan pelaburannya di sini kerana terdedah dengan risiko yang tinggi.

“Mereka (pelabur) menjadi pemerhati dari luar melihat perkembangan ekonomi semasa Malaysia.

“Bagi saya akhirnya negaralah terpaksa tanggung masalah ekonomi itu, dan rakyat antara tumpuan dunia yang sering mengeluh,”
katanya kepasa MBNews.

Katanya lagi, usaha untuk menarik semula pelabur hanya boleh dilaksanakan melalui kerajaan yang stabil.

Ia merupakan tanda aras yang terbaik bagi mana-mana pelabur, domestik dan antarabangsa.

Mengulas mengenai sekiranya berlaku perubahan tampuk pemerintahan, Shazali berkata, apa sahaja perubahan pemerintah itu bakal memberi kesan terhadap persekitaran ekonomi semasa dunia.

“Sekiranya kepimpinan yang menjadi tanda tanya ini bersatu membentuk sebuah lanskap politik sihat, saya percaya ia dapat memberi keyakinan semula kepada pelabur dan memberi kesan positif kepada ekonomi Malaysia,” katanya.

Beliau turut mengharapkan pemimpin baharu yang dilantik selepas ini dapat mengurangkan kepentingan politik dalam diri.

“Jangan hanya bercita-cita menjadi menteri besarke, perdana menteri ke sebab yang menjadi mangsa adalah rakyat,” katanya.

You may also like

Leave a Comment