Apabila KSN Jalankan Tugas Menteri…

by Tun Teeja

Oleh: Nurul Firdaus Khairi

CYBERJAYA – Walaupun pelbagai perkara berlaku melibatkan tampuk pemerintahan negara, ia tidak menjejaskan semangat penjawat awam menjalankan tugas.

Menariknya dalam Facebook Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali turut berkongsi gambar-gambar tinjauannya ke Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Imigresen Putrajaya hari ini.

Situasi ini membuktikan kesunggguhan KSN dan sebenarnya lebih ramai lagi KSU berperanan sebegitu. Barangkali, ketika menteri-menteri aktif dahulu, para pegawai kerajaan tidak ke hadapan bertemu rakyat kerana tidak mahu fungsi kerja yang bertindih.

Dalam situasi ketiadaan menteri-menteri yang pergi ke merata tempat untuk merasmi, berucap, menyampaikan bantuan dan apa sahaja baharulah kita diperingatkan kembali bahawa bukannya pak menteri yang berkuasa mutlak dengan mengherokan diri.

Mudah-mudahan kemelut kepimpinan negara mutakhir inimemperlihatkan kepada rakyat bahawa perjalanan pentadbiran sebenarnya adalah tanggungjawab kakitangan kerajaan.

Ahli politik hanyalah penggubal undang-undang di Parlimen. Kerana itu, rakyat tidak perlu mengagungkan ahli politik seolah-olah mereka sahaja yang layak menentukan maju mundur sesebuah negara.

“Minggu yang penuh dengan peristiwa,” catat Ketua Setiausaha Negara di status Facebooknya. “Namun, penjawat awam terus melaksanakan tanggungjawab seperti biasa.”

Yang jelas, ketiadaan menteri-menteri kini telah menjimatkan beratus ribu ringgit. Walaupun hanya sekejap, penjimatan tetap penjimatan! ~MBNews

You may also like

Leave a Comment