KWSP lancar kemudahan dalam talian pengeluaran i-Lestari

by Puteri Gunung Ladang

Oleh SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melancarkan kemudahan dalam talian i-Lestari bagi memudahkan ahlinya membuat pengeluaran Akaun 2.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tunku Alizakri Alias berkata, platform tersebut memudahkan ahli untuk memohon, menyemak status dan mengakses soalan yang sering ditanyakan melalui laman web ilestari.kwsp.gov.my oleh pelayar internet.

“Kami menyedari selepas KWSP melancarkan i-Lestari pada awal April, proses permohonan agak rumit dan menyebabkan banyak kekeliruan.

“Selain itu, kebanyakan ahli tidak mempunyai i-Akaun mereka di mana ia diproses menerusi i-Lestari dan ini menjadikan proses permohonan lebih sukar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata, KWSP mengambil keputusan yang sangat sukar untuk menutup cawangannya pada Mac lalu untuk memastikan keselamatan ahli, majikan, kakitangan, perkhidmatan dan urus niaga, termasuk aplikasi pengeluaran i-Lestari, kepada platform digital.

Sementara itu sejak kerajaan mengumumkan mengenai pengeluaran i-Lestari sebagai satu pakej Bantuan Prihatin Nasional, katanya, KWSP menerima lebih daripada 1.4 juta permohonan pengeluaran i-Lestari setakat 6 petang, semalam.

“Jumlah aplikasi yang tinggi ini menyebabkan portal i-Akaun KWSP secara purata menerima dari 60,000 hingga 70,000 permohonan seminit, peningkatan 15 kali ganda dari 4.000 hingga 7.000 permohonan menerusi web dalam tempoh seminit pada hari biasa.

“KWSP juga mencatatkan purata 20,000 e-mel secara harian yang menanyakan mengenai kemudahan itu. Setakat ini, lebih daripada 700,000 permohonan diluluskan dan pembayaran dikreditkan mulai 4 Mei ini,” ujarnya.

You may also like

Leave a Comment