Lelongan ikan di MOA laris. 1.5 tan ikan licin dalam sejam!

by Puteri Gunung Ladang

Siti Azielah Wahi

PUTRAJAYA – Dalam masa kurang sejam, sebanyak 1.5 tan ikan yang dilelong di perkarangan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) di sini licin diborong pelanggan pagi ini.

Inisiatif lelongan ikan segar itu dilakukan MOA bersama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) melalui Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) dengan membeli lambakan ikan yang didaratkan dan menjualnya dengan harga yang murah.

Pengurus Besar NEKMAT, Azrin Shah Ismail berkata, isu lambakan ikan itu perlu diatasi bagi memastikan harga ikan itu tidak turun secara mendadak sehingga menjejaskan pendapatan nelayan.

“Lambakan ikan atau musim ikan banyak yang sedang berlaku sekarang disebabkan faktor musim ikan matang terutamanya ikan kembung,”katanya.

Menurutnya ikan kembung adalah antara spesies ikan pelagik yang mudah diperoleh di kawasan perairan Malaysia dengan menggunakan peralatan pukat jerut dan juga pukat hanyut.

“Ikan ini berhijrah mengikut taburan
plankton dan juga suhu permukaan laut,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, NEKMAT juga membeli ikan-ikan tersebut untuk disejuk bekukan dengan menggunakan teknologi ‘jndividual quick freezing’ atau IQF yang terletak di Kuala Kedah sebagai simpanan untuk kegunaan musim kekurangan bekalan.

“Diharapkan dengan langkah ini, nelayan masih lagi mampu meningkatkan
pendapatannya dengan menjual ikan tersebut kepada NEKMAT,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial isu lambakan ikan di beberapa jeti pendaratan ikan di Kedah.

Antara ikan yang dijual ialah ikan kembung dengan harga RM3 sekilogram, ikan selayang dan lengkoi yang berharga RM5 sekilogram serta ikan tongkol putih berharga RM10 sekilogram.

Sementara itu difahamkan lelongan ikan-ikan tersebut akan dianjurkan lagi pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian. – MBNews

You may also like

Leave a Comment