Lima Idea Supaya Pakej Rangsangan Ekonomi Lebih Berkesan

by Puteri Gunung Ladang

Oleh: Siti Azielah Wahi

CYBERJAYA – Pendekar Ekonomi Islam, Coach Fadzil Hashim menyambut baik Pakej Rangsangan Ekonomi bagi menangani penyakit COVID-19 seperti yang diumumkan Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam.

Mohd Fadzil berkata, beberapa rangsangan yang diumumkan itu memberi kuasa membeli yang lebih kepada golongan sasar.

Beliau turut mencadangkan lima idea supaya rangsangan terhadap ekonomi menjadi lebih berkesan. Menurutnya, “Semua bank wajar menawarkan tempoh pemberhentian pembayaran kepada perniagaan untuk tempoh tiga bulan.

“Ini akan memberikan kelegaan kepada aliran tunai perniagaan yang terkesan. Inilah masanya bank menjalankan tanggungjawab sosial mereka selepas selama ini mengaut keuntungan semata-mata,” katanya.

Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya diwujudkan Kempen GoLocal Economy.

“Kempen ini merupakan insentif khas pusat beli belah milik tempatan diberi rebat cukai atas perbelanjaan promosi dan penghantaran dalam talian untuk menggalakkan perbelanjaan domestik,” katanya.

Di antara pusat beli belah milik rakyat tempatan termasuklah pasaraya Mydin, Speedmart99, KK Mart, Global Ikhwan, rangkaian kedai Kohilal dan juga Malakat Mall.

Selanjutnya Pengasas Kumpulan Brainy Bunch itu juga mencadangkan supaya Cukai Lapangan Terbang Percuma diberikan untuk pelancong dari negara bukan China selain memberikan baucer beli belah khas untuk semua pelancong.

Mohd Fadzil turut mencadangkan supaya hotel-hotel di seluruh negara memberikan diskaun kepada para pelanggan sebanyak 50 peratus kerana mereka tidak perlu bayar hutang bank serta tidak mengenakan cukai SST kepada pelancong asing.

Tun Mahathir semalam mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi RM20 bilion bagi memastikan risiko ekonomi berkaitan penularan wabak COVID-19 dapat ditangani dengan berkesan.

Pakej itu mempunyai tiga strategi utama iaitu menangani impak penyakit tersebut, memangkin pertumbuhan berteraskan rakyat dan menggalakkan pelaburan berkualiti.

Pakej Rangsangan Ekonomi itu diumumkan seperti yang dijadualkan walaupun negara menghadapi kemelut politik susulan cubaan mengatur semula landskap politik negara yang mengakibatkan kerajaan pusat Pakatan Harapan hilang kuasa. ~MBNews

You may also like

Leave a Comment