Pakai Tanjak Di Oxford, Perkenalkan Warisan Melayu

by Tun Teeja

Oleh: Nurul Firdaus Khairi

KUALA LUMPUR – “Saya mahu jadi insan pertama pakai tanjak di Oxford bukan kerana populariti”.

Demikian kongsi Pensyarah Universiti Multimedia Melaka, Dr. Khair Razlan Othman di Facebooknya selepas kisahnya memakai tanjak ketika menerima Ijazah Doktor Falsafah di majlis graduasi universiti terkenal dunia, Universiti Oxford, United Kingdom tular sejak semalam.

Menurutnya, tindakannya itu bagi memperkenalkan pakaian tradisi warisan, tanda budi dan tinggi peradaban bangsa dalam majlis berprestij itu.

“Bukan kerana populariti, saya mahu beritahu betapa hebatnya bangsa kita pada orang.

“Bangsa ini sudah sekian lama mendiamkan diri. Sama ada malu atau memang tidak mahu. Sama ada ragu atau memang dalam keliru,” katanya.

Khair Razlan turut berkongsi cerita yang tindakannya mengenakan tanjak sebagai pengganti mortar board (topi graduasi) semasa majlis graduasi berkenaan mendapat keizinan daripada pihak universiti.

Jelasnya lagi, beliau sebenarnya mula memakai tanjak ‘lebih awal’ ketika di sana tetapi merasakan ia perlu diteruskan pada majlis graduasi berkenaan.

“Selepas viva saya dah pakai (tanjak) cuma untuk graduasi, saya fikir lagi ‘cantik’ sebab dapat perkenalkan hebatnya bangsa ni pada lebih ramai orang,” katanya.

Menariknya lagi, beliau berkata ketika rakan graduasi lain memilih hanya memegang mortar board, beliau dengan bangga memakai tanjak untuk menunjuk isyarat kepada dunia bahawa Melayu tidak akan pernah hilang di dunia. ~MBNews

You may also like

Leave a Comment