Pelaksanaan e-Bazar di bincang esok

by Puteri Gunung Ladang

Oleh SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA – Pelaksanaan e-Bazar bagi menggantikan bazar Ramadan akan dibincangkan di Kabinet esok sebelum diputuskan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu perlu dibincangkan dalam Kabinet kerana terdapat beberapa pandangan berkaitan pelaksanaannya.

“Seperti diumumkan semalam, bazar Ramadan tidak dibenarkan beroperasi di seluruh negara.

Walau bagaimanapun pelaksanaan e-Bazar akan dibincang dalam Kabinet kerana ada pandangan e-Bazar yang dibenarkan adalah dengan membuat pesanan dan dihantar kepada pelanggan.

“Namun ada juga berpandangan buat pesanan dan pelanggan ambil di bazar Ramadan,” katanya.

Beliau berkata, jika orang ramai dibenarkan mengambil sendiri makanan yang dipesan, boleh menyebabkan berlaku kesesakan dan pergerakan ramai.

“Apa pun ideanya rakyat tak boleh bagi alasan untuk keluar mengambil pesanan kerana akhirnya polis yang akan alami kesukaran.

“Terlampau banyak alasan mereka boleh keluar, jadi kita cuba kurangkan alasan, jadi esok kita akan bangkitkan dalam Kabinet dan putuskan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh,” katanya.

Semalam Ismail Sabri mengumumkan, kerajaan telah memutuskan tiada bazar Ramadan dibenar beroperasi di seluruh negara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Keputusan itu dibuat bagi meneruskan usaha membendung penularan wabak Covid-19 yang masih melanda negara dan mengancam kesihatan rakyat.-MBNews

You may also like

Leave a Comment