Perlukah perarakan Hari Wanita 2020?

by Tun Teeja

Oleh: Nurul Firdaus Khairi

CYBERJAYA – Sempena sambutan Hari Wanita semalam, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah mempromosikan aktiviti perarakan Hari Wanita (termasuklah Sisters in Islam).

Menerusi perkongsian dalam Facebook rasmi Setiausaha Majlis Ulama Isma, Sanusi Azmi berkata, beliau memetik laporan Malaysiakini, sekitar 300 aktivis telah berarak dari Sogo menuju ke persimpangan Jalan Raja, Kuala Lumpur.

Menurutnya, perarakan ini bagaimanapun turut melaungkan tuntutan yang dikira bercanggah dengan ketetapan telah digariskan oleh hukum Syarak.

“Sebagai contoh perjuangan hak-hak LGBT, kebebasan wanita untuk berpakaian dan perjuangan hak tubuh mereka.

“Sebagai Muslim, isu-isu hak asasi kemanusiaan sepatutnya dinilai dengan mizan syarak dan bukannya sekadar panduan akal yang berteraskan neraca pertimbangan Liberal,” kongsinya.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran  Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia itu berpendapat,  wacana berhubung hak asasi wanita menurut Islam adalah jalan yang lebih baik untuk menjelaskan kepada muslimah betapa Islam telah mengangkat kedudukan wanita.

Jelasnya lagi, dalam al-Quran, Allah telah memerintahkan para lelaki supaya menyantuni wanita dengan penuh hormat dan kemuliaan.

“Rasulullah turut mewasiatkan kepada kita agar memelihara para wanita dengan baik. Malah Baginda menegaskan bahawa ciri-ciri kesempurnaan akhlak seorang lelaki adalah tergantung kepada bagaimana mereka melayan wanita.

“Malah banyak lagi dalil serta penghujahan yang menunjukkan bagaimana Islam mengangkat serta memuliakan para wanita,” katanya penyertaan para muslimah dalam aktiviti perarakan Hari Wanita yang bercampur-baur tuntutan perjuangan mereka tidak sekali-kali menjulang kemuliaan wanita muslimah.

Beliau berkata, kemuliaan wanita muslimah telah pun diangkat oleh Allah dan RasulNya melalui ketaatan serta ketaqwaan mereka kepada Allah.

“Bukannya melalui lolongan dan pekikan yang menuntut hak asasi yang dibimbangi bertunjangkan kerangka anutan Liberal,” ujarnya. -MBNews

You may also like

Leave a Comment