PKPD kelima di sekitar Jalan Masjid India

by Puteri Gunung Ladang

Oleh SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA – Beberapa kawasan di Masjid India dan sekitarnya menjadi lokasi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini sehingga 28 April.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD itu melibatkan Jalan Masjid India, Jalan Munsyi Abdullah, Jalan Dang Wangi, Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR), Jalan Tun Perak, Jalan Melaka dan Jalan Ampang.

“Kerajaan akan melaksanakan PKPD kelima itu disemua kawasan tersebut berkuatkuasa 14 April sehingga 28 April dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) sama seperti di kawasan PKPD 1, 2, 3 dan 4,” katanya dalam sidang akhbar harian pelaksanaan PKP hari ini.

Pada masa sama Ismail Sabri berkata, PKPD di daerah Hulu Langat ditamatkan kecuali di Maahad Tahfiz An Nabwwiyyah dan sebuah rumah Batu 23 Kampung Sungai Lebar, Sungai Lui.

“Hari ini merupakan tarikh akhir PKPD Hulu Langat, atas nasihat Menteri Kesihatan PKPD Hulu Langat ditamatkan melibatkan kesemua tujuh buah kampung Melayu termasuk dua kampung Orang Asli kecuali Maahad Tahfiz An Nabawwiyyah dan sebuah rumah di Kampung Paya Lebar Hulu Langat,” katanya.

Sementara itu, katanya PKPD di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang dilanjutkan lagi sehingga 28 April kerana berlaku penambahan kes positif Covid-19.

“Manakala PKPD ketiga melibatkan Menara City One, Selangor Mansion dan Malayan Mansion juga dilanjutkan kerana terdapat peningkatan jangkitan Covid-19 dalam kalangan penduduk,” katanya.-MBNews

You may also like

Leave a Comment