Ramai rakyat Malaysia dikhuatiri sertai perhimpunan tabligh di Sulawesi

by Puteri Gunung Ladang

Oleh : SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA – Ramai rakyat Malaysia dikhuatiri antara jemaah tabligh yang bakal menghadiri Acara Ijtima of Asia 2020 di Indonesia.

Jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta berkata, meskipun pihak kedutaan telah mengeluarkan larangan agar rakyat Malaysia tidak menghadiri program itu, dipercayai berpuluh-puluh orang dilaporkan sudah berada di sana.

“Belum ada jumlah tepat rakyat Malaysia yang menghadiri acara itu, kami sedang berusaha mengesan mereka yang terbabit,” katanya seperti dilapor Bernama.

Menurut beliau maklumat itu diperoleh berdasarkan notis konsular agar rakyat Malaysia yang berada di Indonesia mendaftar menerusi e-mel dengan kedutaan di mwjakarta@kln.gov.my atau jkonsular@gmail.com, yang turut di daftar oleh beberapa individu yang menyertai acara itu.

Menurut sumber berita nasional itu8, sejumlah 83 rakyat Malaysia telah berada di Sulawesi untuk menyertai acara itu, yang turut dihadiri jemaah tabligh dari 48 negara lain.

Bagaimanapun, media tempatan melaporkan pihak berkuasa Indonesia tidak mengeluarkan sebarang surat keizinan (permit) untuk acara itu yang dijadualkan berlangsung dari 19 hingga 22 Mac, dan dalam proses berunding dengan pihak penganjur agar mereka bersurai.

Pada 27 Februari hingga 1 Mac lepas, dilaporkan lebih 10,000 orang menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur yang kemudian ada antara peserta didapati positif Covid-19 dan telah menyumbang kepada peningkatan kes itu di Malaysia.

Pada 14 Mac lepas, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dalam satu notis konsulat melarang rakyat Malaysia untuk tidak menyertai sebarang perhimpunan atau acara berskala besar di Indonesia susulan pandemik Covid-19, termasuk menghadiri acara perhimpunan itu.-MBNews

You may also like

Leave a Comment