Rezeki Bunga Chica Ketika Musim Kemarau

by Ratu Pelangi

PADANG TERAP –  Cuaca panas melanda setiap awal tahun memberi rezeki kepada penduduk Kampung Lubuk Tok Wi di sini, untuk menghasilkan lepat bunga Chica yang hanya berbunga sekali dalam setahun.

Bunga Chica atau nama saintifiknya “stereospermum fimbriatum DC” hanya tumbuh di dalam hutan dan bunganya akan luruh ketika ditiup angin ketika cuaca panas terik.

Penduduk, Che Nen Murad, 64, berkata, bunga chica hanya akan berbunga antara penghujung Disember hingga Mac setiap tahun sewaktu kemarau dan bunganya seakan sama seperti bunga Sakura Jepun.

Katanya, setiap kali musim kemarau, beliau dan anaknya akan mengutip bunga Chica yang warna putih ungu di dalam kawasan hutan kira-kira 200 meter dari rumahnya untuk menghasilkan lepat.

“Ada juga penduduk membuat tempahan kenduri atau saya akan buat untuk makan sendiri kerana lepat bunga Chica mengeluarkan warna semula jadi serta bau wangi ketika dikukus.

“Bunga Chica yang siap dikutip akan dicuci dengan bersih sebelum dicampur dengan santan, tepung beras, gula dan garam dan dikisar sehingga halus sebelum dibalut dengan daun pisang hutan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Che Nen berkata, setiap pagi beliau akan mengutip bunga Chica seawal jam 7.30 pagi untuk mendapatkan bunga segar, malah pada hujung minggu, ramai penduduk dari kampung berdekatan atau dari Perlis datang mengutip bunga Chica ini.

Katanya, lepat bunga Chica biasanya dijual pada harga RM1 untuk empat keping lepat bersaiz kecil dan sukar ditemui di pasar tani jika ada yang berkeinginan untuk menikmatinya.

“Pokok Chica sudah berusia 50 tahun dan selagi berbunga, ada rezeki penduduk di sini tetapi kalau hujan, ia tidak berbunga.

“Selain lepat, bunga Chica ini boleh dibuat kuih koci, tepung bungkus, tepung talam dan cucur jawa dan rasanya lain dari yang lain,” katanya.

Penduduk Taman Kemangi, di sini, Norhayati Derani, 45, berkata, setiap kali musim kemarau, beliau akan meluangkan masa membuat lepat bunga Chica dan memberi kepada jiran.

Lepat bunga Chica ada cara membuatnya dan tersilap sukatan akan menyebabkan tidak sedap, selain perlu dikukus kira-kira 45 minit.

Che Nen (kiri) dan Norhayati mengutip bunga Chica ketika musim kemarau untuk dibuat lepat. – Foto NSTP

“Saya mengutip bunga Chica dalam kuantiti banyak dan separuh saya buat lepat manakala separuh lagi dijemur sehingga kering untuk dibuat serbuk.

“Ia mengeluarkan bunga mengikut musim dan boleh lepat pada bila-bila masa kerana serbuk boleh tahan sehingga setahun,” katanya.

Norhayati berkata, biasanya satu bakul bunga Chica dikutip mampu menghasilkan antara 80 hingga 100 biji lepat dan rasanya lebih enak berbanding lepat lain.

Sumber: Berita Harian

Pautan: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2020/02/653025/rezeki-bunga-chica-ketika-musim-kemarau

You may also like

Leave a Comment