[VIDEO] Sanggup Beratur Beli Nasi Lemak Jam 3 pagi

by Tun Teeja

Oleh: Nurul Firdaus Khairi
Foto: Mohd Farid Janudin

KUALA LUMPUR – Masak dengan ikhlas dan sentiasa menyediakan makanan memenuhi citarasa pelanggan antara pulangan rezeki yang diterima oleh Rahmah Bujai.

Rahmah, 55, seorang peniaga nasi lemak di Taman Maluri, Kuala Lumpur tular di media sosial selepas gerainya menjadi perhatian pelanggan mendapatkan nasi lemak seawal jam 3 pagi.

Rahmah

Menurutnya, dia sudah berniaga sejak 25 tahun lalu dan menjadi tradisi pelanggannya beratur panjang.

“Saya mula masak nasi lemak seawal jam 1 pagi dan terus keluar berniaga.. jam 6.30 pagi pula nasi lemak yang saya jual sudah habis, dan pulang semula ke rumah jam 7 pagi.

“Dalam sehari saya masak lebih kurang 17 hingga 18 kilogram nasi dengan lapan jenis lauk bagi memenuhi permintaan pelanggan,” katanya yang membuka gerainya pada setiap hari Isnin hingga Sabtu.

Rahmah berkata, kebanyakan pelanggannya terdiri daripada penduduk setempat, pekerja syif dan penuntut kolej di kawasan sekitar.

Katanya, walaupun nasi lemak yang dijual boleh dibeli seawal jam 3 pagi namun terdapat juga pelanggan yang terpaksa pulang dengan tangan kosong.

Dia turut berkongsi rahsia di mana setiap kali memasak dia mengamalkan amalan memasak dengan ikhlas.

“Kadang-kadang kasihan juga kepada orang belakang tak dapat beli sebab beratur panjang,” kongsinya.

Sementara itu, seorang pelanggannya. Mohd Ikmal Farhan berkata, dalam seminggu dua hingga tiga kali jugalah singgah mendapatkan nasi lemak itu.

Dia yang datang dari Sungai Besi sanggup beratur panjang awal pagi apabila ramai kenalannya memberitahu nasi lemak tular itu sedap.

“Ternyata memang orang cakap kalau makan memang akan datang beli lagi, bukan makan dan terus lupa,” katanya.

S. Vinothine juga berkata, dia mendapat maklumat nasi lemak sedap itu melalui Facebook dan sanggup beratur seawal jam 3.30 pagi.

Bagi Intan Hasniza juga dia terpaksa datang lagi ke gerai itu kerana pada minggu lalu terpaksa pulang dengan tangan kosong.

Katanya, dia agak terkejut juga apabila pelanggan masih beratur panjang dengan harapan dapat menikmati nasi lemak yang tular itu. ~MBNews

You may also like

Leave a Comment