Tidak patuh arahan, masih solat berjemaah di masjid, surau

by Ratu Pelangi

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

IPOH – Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) melahirkan rasa kesal kerana masih terdapat masjid dan surau di negeri itu tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila melakukan solat jemaah melebihi bilangan yang ditetapkan.

Pengarah JAIPk, Datuk Mohd. Yusop Husin, menyeru semua jawatankuasa kariah masjid dan surau agar mematuhi arahan yang telah dikeluarkan.

Menurutnya, patuh kepada pemerintah adalah satu kewajipan.

“Solat jemaah adalah fardu kifayah, menghindari kemudaratan adalah kewajipan, kita bukannya golongan Jabariah, taqwa kita bukan berserah.

“Bahaya dan kemudaratan telah diketahui namun terdapat di antara umat masih tidak memahami.

“Wajarkah kita menzalimi diri sendiri atau menzalimi orang lain. Semoga dapat dibezakan dengan penuh kesedaran dan ilmu,” katanya menerusi kenyataan dalam Facebook JAIPk hari ini.

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, hanya imam, bilal dan siak bertugas sahaja dibenarkan bersolat di masjid atau surau di negeri ini. – MBNews

You may also like

Leave a Comment