Wujudkan 10,000 Usahawan Bergerak

by Ratu Pelangi

Oleh: Siti Khairulnisah Mohammed Bajuri

CYBERJAYA – Safah Herbs Beauty Recipe dalam perancangan untuk mewujudkan 10,000 usahawan bergerak yang menjalankan perkhidmatan rawatan spa tradisi Melayu beri peluang kepada lebih ramai pelanggan menikmatinya di rumah.

Pemilik Safah Herbs, Fauziah Mohd Fuad berkata, rawatan spa itu  dilihat sentiasa dicari pelanggan khususnya golongan wanita Muslim selain dapat mampu memenuhi permintaan mereka.

“Saya berbincang dengan Coach Fadzil (Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim) dan mempunyai perancangan mahu membina usahawan rawatan spa tradisi Melayu.

“Tumpuan utama adalah membangunkan pusat rawatan spa itu dahulu sebelum dikembangkan kepada perkhidmatan bergerak yang akan mewujudkan golongan usahawan berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini.

Fauziah berkata, untuk mencapai sasaran itu, pihaknya mempunyai pelbagai projek yang perlu dirangka sebelum merealisasikannya.

Dalam pada itu, katanya, sasaran rawatan spa tersebut tidak khusus kepada wanita Melayu sahaja tetapi turut melibatkan kaum-kaum lain.

“Perkhidmatan itu nanti turut ditawarkan kepada kaum lain seperti Cina dan India. Ini kerana mereka telah melihat keberkesanan rawatan spa tradisi Melayu,” katanya.

Menurutnya, Safah Herb mempunyai usahawan perintis dalam perniagaan itu dan akan mewujudkan lebih ramai lagi golongan tersebut menerusi program bersama Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM).

“Dengan adanya projek ini bersama Coach Fadzil kita harap langkah ini dapat diperluaskan dan mencipta usahawan-usahawan baharu kerana sasaran kita bersama Coach Fadzil membantu usahawan,” katanya. ~MBNews

You may also like

Leave a Comment